Sukan Kitani

Sukan Kitani
~KLIK~ Mempromosi Semua Kegiatan Sukan Negara Brunei Darussalam ~ KLIK~

Fes-Retro

Fes-Retro
One Stop Football Store

Selasa, 7 Februari 2012

Sepintas Lalu Mengenai Puak Kedayan

BANGSA puak kedayan merupakan salah satu daripada tujuh puak jati bagi masyarakat Brunei.Puak Kadayan secara tradisinya beragama Islam dan belum ada yang menganut agama selain daripada agama Islam.Puak Kadayan juga merupakan peribumi anak jati kedua terbesar di Brunei Darussalam.

Sejarah puak Kadayan sebenarnya agak gemilang bersama-sama dengan kemegahan Kesultanan Brunei.Malah mereka mampu menembusi tembok istana dan memegang jawatan-jawatan penting khususnya dalam hal pertahanan empayar.Permaisuri Sultan Saiful Rijal abad ke 16 merupakan seorang gadis Kadayan.Putera mereka Orang Kaya Kassim @ Orang Kaya Harimau Padang telah berjaya mengalahkan Sepanyol dalam Perang Kastilla bersama-sama Pangeran Bendahara Sakam.Mantri Kadayan Orang Kaya Besar Imas contohnya memainkan peranan yang penting dalam perang saudara 12 tahun abad ke 18.Begitu juga dengan Panglima Datuk Seri Setia Ghaffar pada akhir abad ke 19.Itu belum disebut lagi kisah Panglima Saban, Panglima Kunchang dan lain-lain. Kerabat diraja Brunei dari golongan Melabau juga berdarah kedayan dari perkahwinan dengan Dayang Siti Ambong.

Pada tahun 1840an, puak Kedayan seramai 300 orang dari Berakas bersama-sama dengan Pangeran Yussof telah memberontak dan cuba menawan kota Brunei. Pemberontakan ini berjaya dihapuskan oleh angkatan Pangeran Badruddin, Pangeran Iluddin yang disokong oleh Kapten James Brooke dengan angkatan perang seramai 2000 orang.

Pemberontakan puak Kadayan yang paling terkenal ialah Pemberontakan Brunei 1962. Ada sejarawan Barat yang berkata sebenarnya Syeikh A. Azahari itu walaupun dikenali sebagai bangsa Melayu-Arab, sebenarnya ayahnya berdarah Kadayan. Ibunya berketurunan British-Sumatera.Mungkin atas sebab bangsa, PRB mendapat sokongan kuat daripada orang Kedayan Brunei, Sabah dan Sarawak.

Nama Kadayan.

Nama Kadayan atau Kedayan dipercayai berasal dari perkataan Jawa atau Melayu Lama, Kadang Kedayan. Kadang dalam dialek Jawa bermaksud saudara mara atau kerabat raja manakala Kedayan bermaksud pengikut atau 'retainer'. Amdee Sidik seorang peguam dan juga sejarawan Kedayan dari Sabah pernah berkata Kedayan atau Kadayan merupakan satu-satunya bangsa Nusantara yang di namakan bersempena dengan pekerjaan nenek moyang mereka. Logiknya, sepanjang sejarah Brunei puak Kedayan memang bertindak sebagai 'retainer' kepada Sultan Brunei selain menjadi penanam padi kepada kesultanan bersama-sama dengan bangsa Bisaya.

Amdee Sidik turut menambah yang puak Kedayan juga menjadi bangsa 'buffer' kepada suku Melayu Brunei yang berada di kampung air dan ibu kota. Kampung-kampung Kedayan akan melingkari penempatan ibu kota.Ia seolah-olah kubu pertahanan dalam menentang suku-suku Dayak di Borneo khususnya serangan orang Murut.

Dalam pengertian lain Kedayan turut bermaksud Orang Pendalaman atau Orang Darat. Nama lama kepada suku Dusun di Brunei juga di sebut Kedayan atau Sang Kedayan. Sang Kedayan merupakan kata yang digunakan untuk membezakan 'Orang Laud' ( pesisir ) dan Darat ( Kedayan ). Sekarang bangsa Dusun Brunei menggunakan istilah Sang Jati Brunei.

Asal-usul

Tidak dapat dipastikan dengan jelas dari manakah bangsa Kadayan ini berasal.Banyak sumber dari bangsa-bangsa yang berlainan.

I. Puak Kadayan merupakan penduduk asal Brunei dan disokong oleh mitos-mitos Melanau dan Melayu Sarawak. Ada pengkaji Barat yang mengatakan yang Puak Kadayan ini berketurunan Murut/Sakai yang telah di Islamkan.Bangsa Murut juga dikatakan moyang kepada beberapa subetnik yang berlainan seperti Kelabit dan Lun Bawang.Dikalangan bangsa Lun Bawang itu sendiri ada pendapat yang mengatakan bahawa bangsa Kadayan ini merupakan puak Lun Bawang yang memeluk Islam dan memakai nama baharu untuk menunjukkan identiti bangsa yang Islam. Dalam rancangan Belajar Bahasa di RTB suatu ketika dulu, pengulas dari suku Murut Brunei mengatakan sesama mereka (Murut), mereka menggelarkan diri mereka Kadayan ....

II. Puak Kadayan berasal dari Jawa-Majapahit atau wilayah-wilayah yang kuat pengaruh Majapahit.Mitos peristiwa sabung ayam antara Raden Angsuka Dewa Majapahit dan mitos Ratu Lela Menchanai menyokong pendapat ini.Kisah ini diperturunkan dikalangan anak-anak Kadayan selama beratus-ratus tahun. Mungkin ada benarnya kerana sesuatu kisah mitos itu pada kebiasaannya bermula dari cerita yang nyata wujud yang kemudiannya ditokok tambah.Lebih-lebih lagi Ratu Lela Menchanai memang wujud dan ada makamnya di Brunei, cuma sejarawan bertelingkah mengenai asal sebenar baginda.Untuk beratus-ratus tahun Ratu Lela Menchanai diyakini berketurunan Jawa dan hanya beberapa waktu kebelakangan ini ia ditukar kepada Ratu Suluk dengan alasan nama Menchanai menyerupai nama diraja Suluk, Magandai.Yang anehnya, makam Sultan Bolkiah dan Laila Menchanai mempunyai pengaruh ukiran Jawa yang kuat. Perlu diingat juga yang Pulau Borneo pernah disebut juga sebagai Pulau Jawa Besar.

III. Puak Kadayan dikatakan berasal dari Kutai Kerta Negara di Kalimantan iaitu sebuah kerajaan tertua Indonesia, lebih tua dari Kerajaan Melayu, Srivijaya di Sumatera dan Taruma Jawa.Penemuan-penemuan terkini menjumpai persamaan di antara bahasa Kutai dan Kadayan, malah wikipedia bahasa Indonesia memasukkan bahasa Kadayan dalam rumpun bahasa Kutai.Mitos Lela Menchanai pula amat mirip kepada mitos asal-usul raja-raja Kutai iaitu mitos Puteri Junjung Buih.Kehebatan kisah Puteri Junjung Buih ini hinggakan semua raja dari kerajaan-kerajaan di persisir Kalimantan akan mengaku keturunan baginda. Menurut beberapa budayawan suku Kendayan atau Kanaytn di Kalimantan, Kedayan merupakan keturunan pelayar dan pelaut Kendayan yang berhijrah ke utara Borneo. Mereka ini juga dikatakan bersaudara dengan suku Kendayan yang pernah mendirikan beberapa kerajaan kuno Borneo antaranya Kerajaan Mempawah Lama - Patih Gumintar. Kerajaan Kendayan ini bertahan sehingga abad ke 17 sebelum dikuasai oleh orang Bugis.
IV. Puak Kadayan merupakan keturunan pengiring di raja Putera Datu Adipatih dari Banjar, yang tersesat semasa berburu mencari kijang putih untuk mengubat Raja Banjar yang gering. Namun dalam perburuan itu mereka tersesat di dalam hutan Borneo dan sampai ke Brunei dan terus menetap di sana.Oleh kerana dalam bahasa Melayu Kuno pengiring di raja di sebut Kodiyan, maka keturunan mereka di gelar Kadayan.
V. Puak Kadayan juga dikatakan merupakan keturunan Panglima Sawang Harimau yang berkahwin dengan seorang gadis yang berketurunan Jawa. Panglima Sawang Harimau dikatakan hidup pada zaman Sultan Bolkiah. Namun belum ada bukti yang mampu menyokong pendapat ini. Siapa sebenarnya Panglima Sawang Harimau ini? Sawang Harimau merupakan gelaran semata-mata.Walaupun Panglima Sawang Harimau dikatakan kerabat sultan. Jika benar, pendapat ini menyokong idea bahawa Kedayan berasal dari Kedayang. Kedayang merupakan gelaran keturunan Brunei iaitu bila seorang kerabat raja berkahwin dengan rakyat biasa, jika anak sulongnya perempuan maka mereka keturunan Kedayang dan jika anak sulong lelaki mereka keturunan Kawang. Wallahu'alam.

Penempatan Lama

Walaupun hakikatnya tumpuan penempatan Puak Kadayan adalah di sekitar Teluk dan pesisir pantai Brunei, Sabah, Labuan dan utara Sarawak, sejarah membuktikan yang bangsa Kadayan pernah wujud di lembah Sungai Sarawak dan Pulau Pinang.

I. Rekod Salasilah Raja-Raja Brunei mencatatkan yang puak Kadayan pernah berhijrah bersama-sama Pangeran Muda Tengah ke Santubong pada abad ke 17.Baginda telah diiringi oleh seribu orang hulubalang berbangsa Kadayan, Sakai dan penduduk Pulau Bunut ke Sarawak Darul Islam (lembah Sungai Sarawak sekarang).Baginda menggunakan gelaran Sultan Omar Ali Ibrahim Syah, sultan Sarawak yang pertama dan terakhir.Keturunan mereka ini sekarang telah menjadi Melayu Sarawak hasil perkahwinan campur.

II. Sejarah Pulau Pinang pula merekodkan yang ada penghijrahan bangsa Kadayan ke sana tidak lama selepas pembukaannya oleh Francis Light. Mereka membuka penempatan di Bayan Lepas dan diketuai oleh oleh Haji Brunei atau Muhammad Salleh bin Raturati. Jangan terkeliru dengan nama Pangeran Haji Muhammad Salleh iaitu bangsawan Brunei yang berhijrah ke Pulau Pinang kemudiannya.

III. Catatan pentadbiran Raja Brooke turut merekodkan yang puak Kadayan juga membuka kampung Rambungan di Lundu dan diketuai oleh dua bersaudara iaitu Samah dan Radat dari Bukit Sari, Lawas. Keturunan mereka Kapten Landak dan saudara maranya dianugerahkan tanah oleh Raja Brooke dalam Projek Geragas dan kampung itu masih wujud sekarang iaitu Kampung Sungai Lumut di Santubong.Kapten Landak merupakan pengemudi kapal His Royal Highness the Rajah Launch milik dinasti Brooke.Sebenarnya sehingga kini komuniti Kadayan ini masih boleh ditemui di sekitar Kuching, sama ada di Jalan Mendu, Pulo-Bintawa,Gedong-Simunjan, Lundu-Sematan-Biawak dan lain-lain.
IV. Penghijrahan ke Miri khususnya daerah Sibuti dimulakan oleh Penghulu Haji Abdul Ghafur bin Nayan pada sekitar 1800an. Kedatangannya ke Sibuti ialah untuk mencari tanah sebagai pusat penanaman padi. Kali kedua beliau ke Sibuti beliau membawa bersama-sama benih tanaman dan pengikut untuk berkampung di Sibuti.Kewujudan mereka di Sibuti dipercayai bermula di kawasan Tanjung Bungai kerana di situ ditemui perkuburan lama Kedayan yang berusia hampir 200 tahun. Ada pendapat lain yang Penghulu Haji Abdul Ghafur Bin Nayan dihantar ke Sibuti oleh Sultan Brunei untuk memungut cukai.

Bahasa Kadayan.

Bahasa Kadayan walaupun telah dimasukkan ke dalam rumpun bahasa Kutai, merupakan keluarga Melayu Brunei sebenarnya. Persamaan kedua-dua bahasa itu tidak boleh dinafikan.Bahasa Melayu Brunei boleh dibahagikan kepada tiga dialek iaitu Kampung Air, Kadayan dan Tutong.Bagi yang biasa di dalam membezakan huruf e taling dan e pepet akan merasakan mempelajari bahasa Kadayan ini amatlah mudah kerana e taling akan menjadi a dan e pepet akan menjadi i. Bahasa Kadayan sememangnya dikenali dengan penghilangan huruf r dalam pertuturan seharian mereka.Walaubagaimanapun, ada kajian yang mengatakan bahawa hutuf r itu tidak hilang tetapi digantikan dengan huruf h yang disebut secara halus dan hampir tidak kedengaran.

Budaya Kadayan.

Budaya kehidupan Kadayan tidak jauh bezanya dengan budaya Melayu kerana pengaruh Islam. Hal perkahwinan, pertunangan, kematian, kelahiran, masuk jawi,dan sebagainya hampir sama dengan budaya Melayu.Cuma dalam pembahagian harta pusaka agak mirip kepada budaya Minang tetapi berbeza.Dalam budaya Kadayan apabila seseorang lelaki itu meninggal dunia harta pusaka tidak terus dibahagikan kepada anak-anak mereka tetapi akan dijaga oleh si ibu sehingga kematiannya. Selepas si ibu meninggal dunia baharulah harta pusaka tersebut di bahagikan mengikut hukum syarak.

Seni Kadayan.

Hikayat Awang Kamaruddin merupakan warisan sastera Kadayan yang terulung. Ia dikelompokkan di dalam budaya 'pitaan' dalam kategori Labai. 'Pitaan' lain ialah syair, peribahasa, pepapatah dan pantun. Dalam seni nyanyian dan tarian, yang paling menonjol dikalangan puak Kadayan sekarang ialah budaya Bermukun/Bergendang. Namun antara tarian kedayan yang asli ialah Anding,Aduk-Aduk, Alai Bubu,Alun Bungai dan Jipin Yadan.Professor Ghouse pernah menyebut sejenis tarian bernama Madayut dalam tulisan beliau namun tiada rekod yang mampu aku temui.Lagu tradisi Kadayan pula ialah Anding Rimba, Dang Sulandi, Lai Mangalai, Jum jum Malam, Isai Induai, Cam Cambi, Aladom dan banyak lagi.Di Labuan Adai-adai merupakan seni yang utama yang turut dikongsi bersama bangsa Melayu Brunei.Pertembungan budaya ini juga berlaku di Sarawak di mana Kadayan Sibuti juga telah mengambil lagu Suriram sebagai lagu tradisi mereka.

Dalam seni permainan, dikalangan puak Kadayan, gasing merupakan permainan yang paling dikenali selain Kuhit, Cerangin dan Paning-paningan (Yoyo Kadayan).Dikalangan kanak-kanak pula kedapatan permainan Main Jadi, Pelapi, Simban, Gusti Daun Duyan, Sumpit Lada, Main Sinapang dan Kayu Tiga (berdasarkan pengalaman penulis masa kecil-kecil dahulu). Namun lain kampung lain pulanya budayanya.Bila datang ke Brunei, sila melawat ke Pulau Berambang, kerana disitu ada stu senibina Kadayan yang unik iaitu Batu Berpangkat, struktur menara batu berbentuk segiempat, yang dijadikan penanda sempadan pada masa lampau.

Wallahu'alam.

3 ulasan:

raturati berkata...

Saya ada menyipan salasilah Pangeran Muhamad Salleh ibni Raturati al Barakah yg berasal dari keturunan Raja Brunei. Mengikut org tua2 saya, beliau adalah anak dari isteri tua yang terpaksa membawa diri dan anak2 ke Semenanjung setelah berlaku krisis di istana. Kaum keluarganya berpecah di Port Dickson, Lumut/Pangkor dan Bayan Lepas. Masing2 anak telah menukar nama di raja ke nama biasa supaya tidak dikenali. Salah seorang yg saya pernah jumpa adalah Dayang Mariah yg telahpun menukar namanya kepada Siti. Wallahualam

Frez Pure Goat's Milk berkata...

assalamualaikum tuan bahazain...sya siti sgt menghargai sekiranya dpt berhubung dgn tuan...dayang mariah tu tok sedara sya di bayan lepas..harap dapat hubungi tuan tlg email sya shakira.axa@gmail.com

Anis777 berkata...

Assalamualaikum Tn Bahazain, sy amat bharap Tn dpt email sy mengenai salasilah Pangeran Muhamad Salleh ibni Raturati krn sy juga sdg berusaha utk menyambung salasilah keturunan Raturati. Sy amat berbesar hati sekiranya Tn blh email ke anishaslindahamid@yahoo.com. Terima kasih.