Sukan Kitani

Sukan Kitani
~KLIK~ Mempromosi Semua Kegiatan Sukan Negara Brunei Darussalam ~ KLIK~

Fes-Retro

Fes-Retro
One Stop Football Store

Khamis, 1 Januari 2009

Penutupan rasmi Jubli Intan 75 tahun Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam


BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu - Lebih dari 100 pengakap menerima Lencana Kecekapan Pengakap yang diadakan semasa Acara Menurunkan Bendera Khas dan Penutupan Rasmi Sambutan Jubli Intan 75 tahun Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam yang diadakan di hadapan Bangunan Ibu Pejabat Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Kompleks Pengakap, Jalan Gadong, hari ini.


Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyampaikan lencana kepada penerima-penerima ialah Yang Dipertua Persekutuan Pengakap Negara Brunei Darussalam, Pehin Dato Seri Paduka Haji Mohd Ali Haji Md Daud.


Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Haji Badar Haji Ali di dalam ucapan beliau menyatakan bahawa PPNBD mempunyai visi untuk mempunyai 10 ribu ahli menjelang 2013 dan akan menjadi penggerak belia yang utama di dalam menyediakan program-program mencabar dan membina kecemerlangan di kalangan remaja yang memainkan peranan penting di dalam pembangunan bangsa.


Beliau menyatakan bahawa untuk mencapai visi itu memerlukan tanggungjawab dan komitmen semua anggota pengakap dan juga sokongan serta dorongan dari masyarakat dan kerajaan.


Menyentuh mengenai acara-acara sambutan 75 tahun penubuhan PPNBD, Haji Badar berkata pelbagai acara diadakan untuk memeriahkan acara sambutan termasuk acara Cubboree Negara Brunei Darussalam yang disertai oleh lebih 690 peserta dari luar dan dalam negara.


Acara perkhemahan Alam Sekitar Pengakap Kelana juga diadakan dan semasa perkhemahan sebanyak 400 pokok ditanam di kawasan seluas 1 hektar di kawasan Sungai Mau Daerah Belait dan projek itu merupakan kegiatan berterusan dengan kawasan berkenaan diperuntukkan seluas 4 hektar untuk ditanamkan dengan pokok oleh Jabatan Perhutanan.


Majlis diteruskan dengan Lencana Kecekapan Pengakap oleh Pehin Dato Seri Paduka Haji Mohd Ali. Seramai 69 orang menerima Sijil Lencana Link bagi ahli Pengakap Tunas, 21 orang menerima Sijil Lencana Scout Standard bagi ahli Pengakap Muda, 9 orang menerima Sijil Lencana Advanced Scout Standard bagi ahli Pengakap Muda, 2 orang menerima Sijil Lencana Chief Scout Award bagi ahli Pengakap Muda, 17 orang menerima Sijil Lencana Venture Scout bagi ahli Pengakap Remaja, 18 orang menerima Sijil Lencana Projek Alam Sekitar-Sijil Gangsa bagi ahli Pengakap Kelana, 3 orang menerima Sijil Projek Alam Sekitar-Sijil Perak bagi ahli Pengakap Kelana dan 12 orang menerima Sijil Lencana Pengembara bagi ahli Pengakap Kelana.


Majlis diakhiri dengan upacara menurunkan bendera khas sambutan Jubli Intan 75 Tahun Berpengakap di Negara Brunei Darussalam oleh wakil setiap Unit Pengakap Tunas, Pengakap Muda, Pengakap Remaja dan Pengakap Kelana PPNBD dan bendera diserahkan kepada Haji Badar.

Tiada ulasan: